7 Langkah Pastikan Jual Beli Hartanah Anda Selamat dan Tidak Ditipu
- NMC Publisher
- 2 days ago
- 2 min read
Updated: 6 hours ago
Pasaran hartanah sering menjadi sasaran sindiket penipuan disebabkan nilai transaksi yang tinggi dan tahap pengetahuan undang-undang yang rendah dalam kalangan pembeli. Penipuan hartanah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti penjualan oleh pihak yang tidak berhak, dokumen palsu, atau bayaran tanpa perlindungan sah. Oleh itu, pembeli perlu berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Berikut adalah 7 langkah penting yang boleh anda ambil untuk memastikan transaksi hartanah anda sah dan selamat:
1. Buat Carian Rasmi di Pejabat Tanah
Sebelum bersetuju untuk membeli sebarang hartanah, buat carian rasmi (official land search) di pejabat tanah berkaitan. Carian ini akan menunjukkan:
a. Nama pemilik berdaftar,
b.Status pegangan (leasehold atau freehold),
c.Sekatan kepentingan (caveat, gadaian, dsb).
Ini penting untuk memastikan penjual benar-benar pemilik sah menurut Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).
2. Gunakan Khidmat Peguam Hartanah Berpengalaman
Lantik peguam berpengalaman dalam bidang hartanah untuk menyediakan Perjanjian Jual Beli (S&P). Peguam anda akan:
a.Menyemak kesahihan dokumen,
b.Mengurus transaksi dan bayaran secara sah,
c.Memastikan pindah milik dilakukan dengan betul.
Ini juga boleh mengelakkan anda ditipu oleh individu yang berpura-pura menjadi ejen atau pemilik.
3. Elakkan Bayaran Terus kepada Individu Tanpa Resit Sah
Jangan sesekali membuat bayaran:
a. Kepada pihak ketiga yang tidak dinamakan dalam hak milik,
b. Secara tunai tanpa resit atau bukti pembayaran,
c. Tanpa melibatkan peguam atau akaun pemegang amanah (stakeholder account).
Semua bayaran patut dilakukan kepada akaun peguam melalui client account untuk rekod dan perlindungan undang-undang.
4. Semak Status Agen Hartanah
Sekiranya ejen hartanah terlibat, pastikan mereka mempunyai lesen sah daripada Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPPEH).
a. Rujuk Akta 242 (Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta 1981).
b. Di bawah Seksyen 30, individu yang menjalankan urusan hartanah tanpa lesen boleh didakwa di mahkamah.
Anda boleh semak kelayakan ejen di laman web rasmi LPPEH: https://lppeh.gov.my
5. Pastikan Semua Dokumen Ditandatangani di Hadapan Peguam
Perjanjian jual beli, surat wakil kuasa (jika ada), borang 14A (pindah milik), dan lain-lain dokumen penting mesti ditandatangani secara sah dan disahkan oleh peguam.
Ini penting untuk mengelakkan pemalsuan tandatangan atau dokumen palsu.
6. Elakkan Pembelian Hartanah yang “Bermasalah”
Berhati-hati dengan hartanah yang:
a. Harga terlalu murah berbanding pasaran,
b. Tidak ada geran sah,
c.Masih dalam pertikaian keluarga, faraid, atau kes mahkamah.
Hartanah seperti ini berisiko tinggi dan boleh menyebabkan proses pindah milik gagal atau ditangguh bertahun-tahun.
7. Simpan Segala Dokumen dan Bukti Transaksi
Dokumen penting termasuk:
a.Resit bayaran,
b.Salinan S&P,
c.Surat wakil kuasa (jika ada),
d.Bukti carian rasmi tanah,
e.Bukti komunikasi (WhatsApp, e-mel, surat).
Segala dokumen ini penting sekiranya berlaku pertikaian di kemudian hari.
Kesimpulan
Membeli hartanah adalah satu pelaburan besar. Oleh itu, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Jangan mudah percaya kepada janji manis penjual, terutamanya jika proses transaksi dibuat secara tergesa-gesa atau tanpa dokumentasi lengkap. Gunakan saluran yang sah, melibatkan peguam dan agen yang berdaftar, dan pastikan semua transaksi direkodkan dengan jelas.
Sekiranya anda ragu-ragu, dapatkan nasihat awal daripada peguam sebelum menandatangani apa-apa dokumen. Elakkan jadi mangsa penipuan , hak anda dilindungi, jika anda bertindak dengan bijak.
Kena tahu jangan ditipu

Comments